Berita Tidak Gembira Buat Pasukan Kelantan FA ~ Blog Penyokong Bola Sepak Kelantan FA

Monday 19 June 2017


KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kempunan menggunakan khidmat pemain import baharunya, Seydi L Imam selepas rayuan bagi mendaftarkan pemain kelahiran Perancis itu ditolak Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

 Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu, keputusan berkenaan diambil susulan skuad The Red Warriors (TRW) masih terikat dengan sekatan perpindahan yang dikenakan, sekali gus tidak dibenarkan untuk mendaftarkan mana-mana pemain baharu pada jendela perpindahan kedua yang berakhir 11 Jun lalu.

 “Sekatan perpindahan yang dikenakan kepada pasukan Kelantan akan tetap berkuat kuasa dan perpindahan ini tidak dibenarkan kerana KAFA masih gagal mematuhi kriteria yang diperlukan dalam proses pendaftaran untuk memansuhkan sekatan ini.

 “FMLLP juga tidak dapat memberikan kelulusan budi bicara ke atas permintaan KAFA atas sebab perpindahan ini tidak membawa impak yang positif kepada kedudukan kewangan pihak KAFA,” katanya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.

 Gergasi Pantai Timur itu berhasrat untuk membawa masuk Imam bagi menggantikan pemain kelahiran Brazil, Alessandro Celin yang masih bergelut dengan kecederaan dan keputusan itu sudah pasti mengundang masalah kepada Kelantan yang sudah menandatangani kontrak bersama penyerang 31 tahun itu.

 Selain itu, FMLLP menegaskan mereka kekal dengan keputusan untuk memberi KAFA tempoh sehingga 31 Oktober ini bagi menyelesaikan tunggakan gaji, dokumen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dokumen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan dokumen Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi melengkapkan pendaftaran pasukan.

 “Kegagalan melengkapkan proses pendaftaran pasukan sebelum hari terakhir musim 2017 iaitu pada 31 Oktober 2017 akan menyebabkan Kelantan tersingkir ke Liga Perdana bagi musim 2018. “Jadi, FMLLP memohon agar KAFA dapat melengkapkan proses pendaftaran dengan mengemukakan surat penyelesaian gaji, KWSP, PERKESO dan LHDN kepada FMLLP secepat mungkin,” katanya.

 Bagaimanapun, Kelantan mampu bergembira dalam duka selepas rayuannya terhadap pemotongan enam mata yang dikenakan sebelum ini diterima FMLLP yang menyaksikan pemotongan mata dikurangkan kepada tiga mata. Keputusan itu sekali gus menyaksikan Kelantan melonjak ke tangga kelima Liga Super dengan menghimpun 17 mata untuk mengatasi Selangor dan FELDA United berdasarkan kelebihan jaringan. “Keputusan ini dibuat berdasarkan usaha KAFA untuk melengkapkan pelan pembayaran bagi jumlah yang tertunggak,” katanya.

 Sumber: Berita Harian

1 comment:

  1. http://blogkelatefc.blogspot.my/2017/06/live-streaming-perlawanan-persahabatan.html

    ReplyDelete