FMLPP Mahu Singkir Kelantan Ke Liga Bawahan ? ~ Blog Penyokong Bola Sepak Kelantan FA

Thursday 22 June 2017

Annuar menyampaikan cek RM1.5 juta kepada pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah bagi melunaskan tunggakan gaji Mei dan gaji semasa, pada majlis berbuka puasa bersama skuad Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia di Kota Bharu. - Foto Ihsan : Media Kelantan Fa


TAN Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mahu menyingkirkan Kelantan ke divisyen terbawah sekiranya gagal menyelesaikan beberapa hutang tertunggak sebelum hujung Oktober ini bakal ‘membunuh’ pasukan itu dalam pentas bola sepak negara.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, beliau lebih rela Kelantan menarik diri daripada menjadi mangsa di bawah peraturan badan pengendali Liga Malaysia (Liga-M) itu hanya disebabkan percanggahan pendapat sesama sendiri.

“Saya tak tahu mengenai orang lain, tetapi kalau (Kelantan) bermain Liga Perdana, saya selaku penaja tak akan taja pasukan ini. Dalam Liga Super pun, sukar nak cari penaja, apatah lagi (dalam) Liga Perdana, siapa nak taja? Orang lain pun tak nak taja.

“Secara tak langsung awak (FMLLP) membunuh Kelantan, tak membantu sedangkan saya ulang berkali-kali masalah (hutang) dengan pihak tertentu itu, bukan kita tolak tepi, masih dalam rundingan, malah (perbincangan) isu gaji pemain pun aktif berjalan, bukan tak nak bayar,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, malam kelmarin.

FMLLP pada Isnin lalu mengumumkan, tindakan menyingkirkan Kelantan ke liga terbawah boleh dilakukan pada musim depan sekiranya Kafa gagal menyelesaikan tunggakan gaji, caruman serta potongan gaji melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebelum 31 Oktober ini.

Beliau turut mendedahkan, Kafa kini berhutang jutaan ringgit dengan ketiga-tiga agensi badan berkanun itu termasuk mewarisi hutang lama sejak puluhan tahun lalu, selain ada kes tertentu turut dibawa ke mahkamah.

“Nampaknya masalah itu belum dapat difahami FMLLP. Kita tawarkan kaedah bagaimana ia boleh dibayar mengikut kemampuan Kafa, kalau awak paksa bulan Oktober ini mesti selesai semua, kita tahu benda itu tak akan boleh selesai.

“Sekarang awak beritahu nak turunkan Kelantan ke Liga Perdana, lebih baik kita berhenti bermain, pukul (hingga) mati pun Kafa tak boleh bayar (hutang), Oktober ini,” katanya.
Mengulas keputusan FMLLP menolak rayuan kedua Kafa mendaftarkan pemain import, Seydi L’Imam, Annuar berkata, kenyataan badan itu bahawa perpindahan pemain berkenaan tidak memberi impak positif terhadap kedudukan kewangan Kafa sangat melucukan.

“Adakah sekarang FMLLP hendak suruh kita bayar gaji Celin (Alessandro) dan pada masa sama kita juga kena pikul (bayar gaji) L’Imam yang kita sudah tandatangani kontrak bersama Kelantan.

“Ini bukan hendak meringankan tetapi membebankan. Celin diberi penamatan kontrak dengan pampasan minimum dan L’Imam bersetuju terima gaji tidak boleh lebih tinggi daripada Celin untuk meringankan beban kewangan Kafa,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment