Blog Penyokong Bola Sepak Kelantan FA

Tuesday, 4 July 2017

Tahniah buat Kelantan The Red Warriors yang memenangi perlawanan pertama peringkat Kumpulan Piala Malaysia 2017 Menewaskan UITM FC di gelanggang sendiri hasil jaringan Izuan Rosli ( 2 gol ) dan Abu Bakr.

 Jom tengok Gol menarik Kelantan dibawah....Kemah Keming boh








Kredit Kepada Pemilik Video.

Saturday, 1 July 2017

KOTA BHARU: Pasukan bola sepak Kelantan dijangka mendapat tajaan baharu daripada sebuah syarikat elektronik yang beroperasi negeri ini, Rohm Wako Electronics (M) Sdn Bhd.

Khabar gembira buat skuad The Red Warriors (TRW) itu diumumkan oleh Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada menerusi akaun Facebook milikya, sebentar tadi. Entri berkenaan kemudian tersebar luas menerusi Facebook dan aplikasi WhatsApp, yang mana rata-rata netizen termasuk Pegawai Media KAFA, Md Zuki Deraman mengucap terima kasih terhadap syarikat terbabit. "Gembira apabila kawan kita "ROHM-Wako" akan menyertai keluarga The Red Warriors (TRW) tidak lama lagi," menurut entri terbabit. Hamada berkata perkara itu diketahui selepas pengarah urusan syarikat berkenaan memaklumkan mengenai kelulusan syarikat mereka bagi tajaan berkenaan. "(Pengarah Urusan) memberitahu saya yang akhirnya mereka mendapat kelulusan dari ketua pejabat di Jepun untuk menaja TRW, " katanya ringkas menerusi entri terbabit. 

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Harun Mamat, ketika dihubungi berkata, dia mengetahui perkara itu menerusi aplikasi sosial kumpulan WhatsApp selepas berita itu dikongsi ahli kumpulannya. "Jika betul ia adalah satu lagi berita baik buat penyokong dan peminat tegar pasukan Kelantan kerana ini sekali gus dapat menyelamatkan TRW daripada terus dibelenggu isu kewangan dan jatuh ke liga bawah. "Walaupun belum sah tetapi semua rakan-rakan penyokong gembira dengan khabar ini. "Harapan penyokong biarlah ia menjadi kenyataan dahulu dan berharap memberi perkembangan positif buat pasukan nanti," katanya. Rohm Wako adalah syarikat pengeluar peralatan elektronik yang mempunyai sebuah kilang terbesar di negeri ini.

Sumber : Berita Harian

Thursday, 22 June 2017

Annuar menyampaikan cek RM1.5 juta kepada pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah bagi melunaskan tunggakan gaji Mei dan gaji semasa, pada majlis berbuka puasa bersama skuad Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia di Kota Bharu. - Foto Ihsan : Media Kelantan Fa


TAN Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mahu menyingkirkan Kelantan ke divisyen terbawah sekiranya gagal menyelesaikan beberapa hutang tertunggak sebelum hujung Oktober ini bakal ‘membunuh’ pasukan itu dalam pentas bola sepak negara.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, beliau lebih rela Kelantan menarik diri daripada menjadi mangsa di bawah peraturan badan pengendali Liga Malaysia (Liga-M) itu hanya disebabkan percanggahan pendapat sesama sendiri.

“Saya tak tahu mengenai orang lain, tetapi kalau (Kelantan) bermain Liga Perdana, saya selaku penaja tak akan taja pasukan ini. Dalam Liga Super pun, sukar nak cari penaja, apatah lagi (dalam) Liga Perdana, siapa nak taja? Orang lain pun tak nak taja.

“Secara tak langsung awak (FMLLP) membunuh Kelantan, tak membantu sedangkan saya ulang berkali-kali masalah (hutang) dengan pihak tertentu itu, bukan kita tolak tepi, masih dalam rundingan, malah (perbincangan) isu gaji pemain pun aktif berjalan, bukan tak nak bayar,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, malam kelmarin.

FMLLP pada Isnin lalu mengumumkan, tindakan menyingkirkan Kelantan ke liga terbawah boleh dilakukan pada musim depan sekiranya Kafa gagal menyelesaikan tunggakan gaji, caruman serta potongan gaji melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebelum 31 Oktober ini.

Beliau turut mendedahkan, Kafa kini berhutang jutaan ringgit dengan ketiga-tiga agensi badan berkanun itu termasuk mewarisi hutang lama sejak puluhan tahun lalu, selain ada kes tertentu turut dibawa ke mahkamah.

“Nampaknya masalah itu belum dapat difahami FMLLP. Kita tawarkan kaedah bagaimana ia boleh dibayar mengikut kemampuan Kafa, kalau awak paksa bulan Oktober ini mesti selesai semua, kita tahu benda itu tak akan boleh selesai.

“Sekarang awak beritahu nak turunkan Kelantan ke Liga Perdana, lebih baik kita berhenti bermain, pukul (hingga) mati pun Kafa tak boleh bayar (hutang), Oktober ini,” katanya.
Mengulas keputusan FMLLP menolak rayuan kedua Kafa mendaftarkan pemain import, Seydi L’Imam, Annuar berkata, kenyataan badan itu bahawa perpindahan pemain berkenaan tidak memberi impak positif terhadap kedudukan kewangan Kafa sangat melucukan.

“Adakah sekarang FMLLP hendak suruh kita bayar gaji Celin (Alessandro) dan pada masa sama kita juga kena pikul (bayar gaji) L’Imam yang kita sudah tandatangani kontrak bersama Kelantan.

“Ini bukan hendak meringankan tetapi membebankan. Celin diberi penamatan kontrak dengan pampasan minimum dan L’Imam bersetuju terima gaji tidak boleh lebih tinggi daripada Celin untuk meringankan beban kewangan Kafa,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Monday, 19 June 2017


KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kempunan menggunakan khidmat pemain import baharunya, Seydi L Imam selepas rayuan bagi mendaftarkan pemain kelahiran Perancis itu ditolak Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

 Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu, keputusan berkenaan diambil susulan skuad The Red Warriors (TRW) masih terikat dengan sekatan perpindahan yang dikenakan, sekali gus tidak dibenarkan untuk mendaftarkan mana-mana pemain baharu pada jendela perpindahan kedua yang berakhir 11 Jun lalu.

 “Sekatan perpindahan yang dikenakan kepada pasukan Kelantan akan tetap berkuat kuasa dan perpindahan ini tidak dibenarkan kerana KAFA masih gagal mematuhi kriteria yang diperlukan dalam proses pendaftaran untuk memansuhkan sekatan ini.

 “FMLLP juga tidak dapat memberikan kelulusan budi bicara ke atas permintaan KAFA atas sebab perpindahan ini tidak membawa impak yang positif kepada kedudukan kewangan pihak KAFA,” katanya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.

 Gergasi Pantai Timur itu berhasrat untuk membawa masuk Imam bagi menggantikan pemain kelahiran Brazil, Alessandro Celin yang masih bergelut dengan kecederaan dan keputusan itu sudah pasti mengundang masalah kepada Kelantan yang sudah menandatangani kontrak bersama penyerang 31 tahun itu.

 Selain itu, FMLLP menegaskan mereka kekal dengan keputusan untuk memberi KAFA tempoh sehingga 31 Oktober ini bagi menyelesaikan tunggakan gaji, dokumen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dokumen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan dokumen Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi melengkapkan pendaftaran pasukan.

 “Kegagalan melengkapkan proses pendaftaran pasukan sebelum hari terakhir musim 2017 iaitu pada 31 Oktober 2017 akan menyebabkan Kelantan tersingkir ke Liga Perdana bagi musim 2018. “Jadi, FMLLP memohon agar KAFA dapat melengkapkan proses pendaftaran dengan mengemukakan surat penyelesaian gaji, KWSP, PERKESO dan LHDN kepada FMLLP secepat mungkin,” katanya.

 Bagaimanapun, Kelantan mampu bergembira dalam duka selepas rayuannya terhadap pemotongan enam mata yang dikenakan sebelum ini diterima FMLLP yang menyaksikan pemotongan mata dikurangkan kepada tiga mata. Keputusan itu sekali gus menyaksikan Kelantan melonjak ke tangga kelima Liga Super dengan menghimpun 17 mata untuk mengatasi Selangor dan FELDA United berdasarkan kelebihan jaringan. “Keputusan ini dibuat berdasarkan usaha KAFA untuk melengkapkan pelan pembayaran bagi jumlah yang tertunggak,” katanya.

 Sumber: Berita Harian

Saturday, 17 June 2017

Import baru Kelantan, Abu Bakr telah menjaringkan dua gol dalam aksi persahabatan menentang
MPKB Bri FC semalam dan salah satunya ialah Gol melalui sepakan percuma yang amat menarik

 Dalam aksi persahabatan tersebut Kelantan menang bergaya 5 - 0.

 Gol freekick tersebut juga menarik perhatian Twitter Lebanon FA

 




KOTA BHARU: Pemain dan pengurusan pasukan Kelantan harus menarik nafas lega apabila mereka akan menerima bayaran dua bulan gaji, Selasa ini bagi membolehkan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Bayaran itu akan dibuat dalam satu majlis berbuka puasa di kediaman Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di Seri Puri, Bukit Marak di sini.

Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor, berkata walaupun berdepan kekangan kewangan, KAFA berusaha mencari alternatif bagi menjaga kebajikan pemain dan pegawai The Red Warriors (TRW) musim ini.

"Bayaran dua bulan gaji untuk bulan Mei dan Jun itu sekurang-kurangnya membolehkan pemain dan pegawai membuat persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba. "KAFA berharap pemain terus fokus untuk baki saingan Liga Super Julai ini dengan mengatur dua perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga FAM MPKB," katanya ketika dihubungi BH Sukan hari ini.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Annuar mengumumkan pembayaran gaji pemain bagi bulan Mei dan Jun akan dilangsaikan secara serentak pada 20 Jun ini.

 Mengulas lanjut isu pendaftaran pemain import baharu, Seydi L Imam, Ismail memaklumkan pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas daripada Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) walaupun sudah mengadakan pertemuan 5 Mei lalu.

Sumber : Berita Harian

Friday, 16 June 2017



Tan Sri Annuar Haji Musa adalah ahli politik Malaysia berbangsa Melayu, pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor dan Kok Lanas serta Ahli Parlimen Peringat di Kelantan; Menteri Belia dan Sukan Malaysia; Menteri Pembangunan Usahawan dan Ketua Pembangkang di DUN Kelantan. Di peringkat akar umbi, beliau pernah memegang ahli Majlis Tertinggi UMNO 2000-2003.

Pada masa ini, beliau juga adalah Penasihat dan Penaja Utama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).


KEHIDUPAN AWAL

Tan Sri Annuar Musa lahir pada 18 Mei 1956 di Bukit Marak, Kelantan. Annuar berkahwin dengan Datin Rosniah Abdul Rahman dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Azzahraa, Azzwaa, Ajjrina dan Afiq Amani.


PENDIDIKAN DAN KERJAYA

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Tuanku Abdul Rahman,Ipoh.Annuar memiliki sarjana dalam Pengurusan Pembinaan dari University College of London. Beliau memperoleh ijazah sarjana muda Perancang Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tan Sri Annuar merupakan ahli Institut Perancang Malaysia. Beliau menjadi Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pengarah, Bahagian Perancang Korporat, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan.


MENGETUAI KELANTAN FA

Tahun 2007 menyaksikan perubahan dalam lanskap kepimpinan KAFA yang baru apabila Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa diberi kepercayaan menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan bagi penggal 2007/2010.

 Tahun pertama Tan Sri bersama Kelantan FA sudah menampakkan peningkatan apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Liga Perdana musim 2007/08. Malahan dalam saingan Piala Malaysia pula, walaupun Kelantan gagal melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia, tetapi kejutan yang dilakukan diperingkat kumpulan sedikit sebanyak menyaksikan kebangkitan Kelantan tidak harus dipandang rendah.

Itulah antara sedikit sebanyak Kisah Menarik Tan Sri Annuar Musa.

Wednesday, 14 June 2017



Hashim Mustapha adalah nama yang sangat dekat di bibir peminat bola sepak tempatan pada satu ketika dahulu.
Selepas era revolusi The Red Warriors, muncul nama-nama seperti Khairul Fahmi dan Badhri Radzi yang dilabel mungkin pemain tempatan terbaik dalam sejarah pasukan Kelantan.
Ia terpulang kepada penilaian individu. Namun bagi saya Hashim Mustapha masih kekal sebagai ‘lelaki’ Kelantan terbaik dalam sejarah bolasepak Kelantan.
Walaupun trofi beliau tidak sebanyak yang dimiliki oleh nama nama yang lain.
Karier Awal
Hashim Mustapha lahir pada 31 Januari 1966. Beliau mula dipanggil oleh Kelantan untuk 1982 bermain dalam Piala Emas Raja-raja.
Ketika itu beliau masih di bangku sekolah. Hashim masih belajar di tingkatan empat. Aksi cemerlang Hashim membolehkan beliau ditawarkan kontrak ke pasukan utama Kelantan.
Namun ada 1983, Hashim diberi kelulusan cuti setahun oleh Kelantan atas permintaan beliau kerana perlu memberi perhatian kepada SPM.
Lagenda No.10
Selepas tamat tahun SPM, Hashim masuk ke kem Kelantan pada 1984. Beliau terus menjadi pemain utama yang bermain setiap minggu untuk Kelantan pada 1985 di bawah kendalian M. Chandran.
Hashim mencabar dirinya untuk memakai jersi no.10 yang kosong selepas semua pemain senior enggan memakai jersi itu kerana agak ‘berat’.
Mana tidaknya, jersi tersebut sangat signifikan dengan Dali Omar. Aksi cemerlang Hashim terus membolehkan beliau dipanggil ke skuad menentang England.
Ianya cuma selepas berberapa bulan menyarung semula jersi Kelantan. Agak sukar untuk Hashim memberikan impak.
Aksi cemerlang Hashim terus diberi perhatian berberapa pasukan lain. Namun komitmen Hashim tetap kepada pasukan Kelantan walaupun pada ketika itu Kelantan bukanlah sebesar Kelantan yang ada pada hari ini.
Beliau terus dilabel The Golden Boy oleh pemerhati bolasepak Malaysia.


Lebarkan karier
Hashim dipanggil menyertai skuad sukan SEA pada 1987.
Budak emas ini memberikan visual yang menarik dengan tandukan terbang (flying header) ketika Malaysia menewaskan Thailand 2-0 di Sukan Sea Jakarta 1987.
Malaysia menamatkan saingan dengan memenangi pingat perak.
Dua tahun berikutnya ketika Malaysia meraih emas sukan SEA di Kuala Lumpur, Hashim tidak mengecapi kejayaan bersama rakan rakan selepas meminta perlepasan atas alasan keluarga.
Hashim si pembunuh sejati
Pada 1990 Hashim memenangi kasut emas Divisyen 2 setelah meledak 15 gol.
Pada 1993, Hashim muncul penjaring terbanyak Liga Malaysia hasil jaringan hat-trik pada perlawanan terakhir liga menentang Negeri Sembilan untuk mengatasi Jose Iriarte.
Sebelum perlawanan terakhir itu Jose mendahului Hashim dengan 2 gol. Namun Jose gagal menjaringkan gol dan Golden Boy ini mencipta hatrik lantas memenangi kasut emas dengan 13 gol.
Pada 1994 adalah musim terbaik Hashim Mustapha apabila meledak 30 gol dalam semusim.
Yang menariknya Hashim juga menjadi antara pemain paling cergas (fittest player) dalam tahun tersebut apabila bermain semua perlawanan melibatkan Kelantan tanpa digantikan.
Cuma Radhi Mat Din (Kedah) pemain outfield yang melakukan perkara yang sama. Hashim juga memenangi kasut emas Liga Perdana dengan 25 gol.
Amat sukar untuk melihat anak tempatan kita meledak lebih 20 gol dalam Liga dan memenangi kasut emas 2 kali berturut turut.
Satu pencapaian yang angkanya masih tidak mampu dipecahkan lagi oleh mana mana pemain tempatan.
Walaupun pemain seperi Norizam Hassan, Khalid Jamlus dan Indra Putra, anak tempatan yang turut pernah dalam senarai kasut emas selepas itu.
Kita juga mungkin pernah mendengar pengulas menyatakan Safee Sali mengatasi rekod gol terpantas yang dilakukan oleh Hashim Mustapha pada 1988 dengan 26 saat.
Betapa hebatnya penyerang yang bernama Hashim ini dahulu. Pada 1993 Hashim melakukan 2 gol melalui disiplin sepakan gunting (bicycle kick) menentang Johor di suku akhir dan membolehkan Kelantan ke separuh.
Kembali ke skuad kebangsaan
Kecemerlangan Hashim pada peringkat domestik membolehkan beliau dipanggil semula secara merit menyertai skuad kebangsaan sekali lagi.
Ianya selepas 4 tahun kali terakhir beliau menyarung jersi skuad kebangsaa. Hashim kali ini dipanggil untuk tugasan Sukan Asia di Hiroshima.
Namun pasukan Malaysia tersingkir awal dan dalam sesi temu ramah, jurulatih Claude Le Roy melabelkan pemain pemain kita cuma jaguh kampung.
Skuad negara ketika itu yang turut dibarisi lagenda seperti Khairul Azman, Ong Kim Swee, K. Sanbagamaran, Azizol Abu Hanifah, Dollah Salleh, Azman Adnan dan Shahrin Majid.
Malaysia cuma mencatat 1 kemenangan ke atas Hong Kong, seri menentang Thailand, dan tewas kepada Arab Saudi dan Uzbekistan.
Di peringkat kebangsaan Hashim lebih digunakan sebagai pemain simpanan.
Meninggalkan Kelantan
Pada 1996, Hashim membuat keputusan mengejut apabila berhijrah ke Kedah. Beliau mengecapi kejayaan Piala FA bersama pasukan Kedah.
Selepas dua musim bersama Kedah, dia kembali semula ke Kelantan pada 1998. Pada 1999 , Hashim menerima tawaran Johor dan membantu Johor memenangi Liga Divisyen Dua pada 1999.
Sekaligus melayakkan Johor (JDTII hari ini) layak ke liga utama pada 1999.
Beliau kembali semula ke negeri kelahirannya pada 2000 untuk menyertai JKR Kelantan dan TNB Kelantan di pusingan pada pertengahan musim 2001.
Hashim akhirnya bersara penuh dalam bolasepak dan dilantik menjadi Jurulatih Skuad Presiden Kelantan pada 2008. Pada 2010 beliau dilantik menjadi Pembantu Jurulatih Skuad Kelantan.

Lagenda pasukan Kelantan dan Liga Malaysia
Hashim Mustapha adalah nama yang cukup hebat dalam sejarah Liga Malaysia terutamanya untuk Kelantan.
Beliau boleh dikatakan pakar (specialist) dalam Liga Malaysia untuk tugasan menjaringkan gol.
Beliau meletakkan penanda aras yang cukup tinggi untuk striker tempatan kita walaupun tidak begitu banyak kredit diberikan ke atas pencapaian beliau.
Hashim tidak pernah memikirkan isu pemain import akan menghalang kejayaan striker tempatan.
Era beliau, Hashim bersaing dengan Alistair Edward, Abbas Saad, Fandi Ahmad, Scot Olerenshaw dan ramai lagi.
2 kali memenangi kasut emas dan cukup banyak gol cantik dihasilkan dengan pelbagai cara termasuk sepakan percuma dan juga penalti. Pemain ini juga boleh melakukan gol melalui akrobatik.
Hashim bukanlah penyerang yang suka ‘menunggu’ duduk di kotak penalti sepanjang masa sebaliknya beliau adalah no.9 yang ‘bergerak’ mencari, mencipta dan melakukan gol.
Disiplin Hashim di padang amat tinggi dan sangat tenang dalam apa jua keadaan. Beliau mengakui pernah ditawarkan bookie RM 40,000.00. Satu angka yang sangat besar ketika itu.
Namun beliau sentiasa meletakkan harga dan maruah pasukan sebagai not for sale.
Ramai sudah maklum akan cita cita Hashim yang mahu menjadi ketua jurulatih pasukan yang disayanginya Kelantan pada suatu hari nanti.
Dengan platform yang ada dimiliki beliau kini, saya rasa ia realistik.

Lagenda Hashim Mustapha adalah penyerang paling prolifik Malaysia pada era 90-an. Semoga anda mencapai apa yang anda hajati dan berjaya di peringkat seterusnya dalam karier anda.

Sumber Penuh : SemuanyaBola.com
Perlawanan yang melibatkan pasukan Kelantan pada Julai 2017

Liga Super
1/7  Kelantan vs Sarawak

Piala Malaysia
4/7  Kelantan vs UiTM

Piala Malaysia
8/7  Melaka vs Kelantan

Liga Super
11/7   Tteam vs Kelantan

Liga Super
15/7    Kelantan vs Perak

Piala Malaysia
18/7   Kelantan vs Kedah

Liga Super
22/7Selangor vs Kelantan

Liga Super
26/7  Kedah vs Kelantan


Piala Malaysia
29/7  UiTM  vs Kelantan

9 PERLAWANAN UNTUK DIHARUNGI PADA BULAN JULAI

Tuesday, 13 June 2017



Tan Sri Annuar Musa melalui status Facebooknya ada menulis "Emm Same Old Story" selepas kekalahan Malaysia kepada Lubnan dengan keputusan 1 - 2.


Mungkin Tan Sri Annuar Musa sedikit kecewa dengan kekalahan tersebut walaupun FAM sudah di barisi oleh pengurusan baru..Apa komen anda pula ? Luahkan di komen.

Semoga Harimau Malaya bangkit dan terus maju jaya.

Monday, 12 June 2017



Jurulatih Lubnan mengatakan Ghaddar tidak mahu bermain untuk pasukan Negaranya kali ini...Dipetik dari Twitter wartawan rancangan FourFourTwo.


Jika diterjemah ke bahasa melayu " ""Ghaddar tidak mahu bermain untuk Negaranya Lubnan apabila dipanggil untuk berkhidmat. Diminta untuk dikecualikan. Apabila pemain tidak mahu bermain, ianya berakhir." jurulatih Lebanon"

Adakah karier Ghaddar bersama pasukan kebangsaannya sudah berakhir ?


PIHAK JDT BAKAL MENGAMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG KEPADA PIHAK YANG MENYEBARKAN FITNAH

Kami bagi pihak JDT mengutuk sekeras-kerasnya portal-portal dan laman tidak rasmi yang menyebarkan fitnah dan sengaja mensensasikan cerita yang tidak sahih. Pihak JDT juga telah mendapatkan khidmat nasihat dari peguam, Dato' Dr Abd Shukor bin Ahmad untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas portal-portal danlaman web tersebut yang terus membuat cerita dan menyebarkan fitnah yang boleh menggugat ketenteraman beberapa pihak contohnya sebaran artikel mengenai seorang penjaga gol dengan kelab JDT. Cerita yang tidak berfaedah ini boleh membawa kepada ketidaksenangan orang ramai dan para penyokong serta tanggapan negatif kepada pihak yang terlibat.

Kapten Mohd Fahmy Bin Yahya, Setiausaha Kehormat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim


Dipetik Dari : Facebook Rasmi Johor Southern Tigers

Saturday, 10 June 2017

SETIAUSAHA Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Ismail Md Noor ketika ditemui di Pejabat Wisma KAFA, Kubang Kerian. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mempelawa mana-mana pihak yang bersimpati dan sayangkan bola sepak negeri ini tampil membantu persatuan itu yang berdepan kemelut kewangan kritikal.

Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor, berkata KAFA komited melangsaikan tunggakan bekas pemain, namun aliran tunai persatuan kini begitu lemah malah dana kewangan daripada penaja tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan musim ini. "

KAFA mencari pelbagai alternatif dalam menyelesaikan tunggakan gaji pemain yang banyak berjasa dan mengerah keringat membantu menjulang nama The Red Warriors (TRW) selama ini.

"Kita tidak pernah membelakangkan kehendak penyokong setia yang mahu KAFA mencari penyelesaian terbaik untuk melihat TRW kekal bersaing di Liga Super musim ini," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Mengenai usaha penaja KAFA mahu membayar tunai tunggakan hutang kepada bekas pemain melalui diskaun 50 peratus, Ismail berkata, semua pihak mahu menyelesaikan kemelut itu dengan segera.

Melalui pelan itu, pemain atau pegawai yang bersetuju membenarkan hutang mereka dipotong sehingga 50 peratus akan menerima bayaran dalam tempoh 30 hari selepas perjanjian persetujuan atau terpaksa menunggu lebih lama jika mahu mendapat bayaran penuh.

Katanya, tawaran itu dicadangkan kerana mereka mahu melihat kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk menerima bayaran tunai manakala KAFA dapat membentuk pasukan bagi terus bersaing di dalam Liga Malaysia (Liga M). "Tawaran ini dilihat sebagai usaha penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa, membantu KAFA, bekas pemain dan pegawai pasukan," katanya.



Dalam satu muatnaik status di dalam faceboook beliau, Tan Sri Annuar Musa nyata kecewa dengan satu berita pada keratan akhbar.

Sisipan berita tersebut menceritakan ada bekas pemain Kelantan yang kecewa. Ini kerana tawaran ‘rebat 50%’ jika mereka mahukan tunggakan gaji mereka dibayar lebih cepat dalam masa 30 hari.
Pemain tersebut melabel ia satu tindakan seolah-olah mereka mengemis gaji sendiri. Ia satu tindakan yang mendera katanya lagi.


TSAM: “Siapa suruh anda mengemis?”
Tan Sri Annuar Musa marah dengan segelintir pihak yang kurang cerdik menganggap ia satu tindakan yang membuatkan para pemain mengemis gaji sendiri.
“Masih ada yang ‘kurang cerdik’ apabila kita ‘bersukarela’ memberi tawaran.”
“‘Mengemis’?…siapa suruh mengemis?”
“Kalau nak tunggu KAFA bayar tunggu saja lah.”
“Itu hak mereka. Tawaran ini bukan dari KAFA tetapi kita kita yang nak bantu kedua dua pihak. Zalim ke?”
“Kalau tak setuju tak payah ambik. Usah ungkit soal titik peluh. Kerana ada yg dapat wang dari titik peluh yang kadangkala dengan prestasi yang tidak seberapa.”
“Itu tak kisahlah. Hutang tetap hutang.”
Ada yang bersusah payah di luar padang demi pasukan
Tan Sri Annuar Musa juga menyatakan bahawa, dalam bola sepak, ada juga pihak yang bersusah payah walaupun mereka tidak berkeringat di dalam padang.
“Tetapi jangan lupa, ada juga orang yang terpaksa mengeluarkan titik peluh untuk bola tanpa dapat wang pun. Tetapi sebaliknya mengeluarkan wang untuk anda.”
“Bola Kelantan bukan di tampung dari titik peluh bola semata-mata. Ada orang kena bekerja di luar padang untuk tanggung yang di dalam padang.”
Tawaran bukan paksaan
TSAM juga berharap agar semua pihak tidak terus memutar belitkan isu.
“Sekali lagi saya ulangi, tawaran ini bukan dari KAFA. Ia juga bukan paksaan.”
Menolong dengan cara masing-masing bukan pandai ‘condemn’ sahaja
“Bagi yang nak ringankan beban KAFA, maka bolehlah mereka yang bermurah hati itu menyumbang mengikut cara masing-masing.”
“Bagi yang tidak mahu, usah ‘condemn’ (mempertikaikan) usaha sukarela orang yang hendak menolong.”
“Hak anda tetap hak anda, dan tunggu sajalah.”
“Bagi yang sukarela nak sama-sama ringankan beban pasukan kita, jom kita sama-sama berkorban untuknya mengikut kemampuan masing-masing.”
“Usah buat tak faham perkara yang sangat mudah difahami. Semoga diberkati.”

Sumber Penuh : Semuanyabola.com

Friday, 9 June 2017


“Penjaga gol JDT Farizal Marlias diperintahkan untuk menjalani hukuman penggantungan perlawanan selama dua belas (12) bulan kerana melanggar Perkara 47.1.2 dibaca dengan Perkara 49.1.2 dan Perkara 50.1 kod Kanun Tatatertib AFC.”
“Penggantungan ini termasuk satu (1) perlawanan penggantungan automatik dari perlawanan Ceres Negros FC menentang pasukan Johor Darul Ta’zim pada 31 Mei 2017.”
Selain daripada penggantungan 12 bulan, Farizal turut didenda USD40,000 ataupun sekitar RM 170,000.
Adalah difahamkan penggantungan ini juga terpakai kepada semua pertandingan di Asia di bawah AFC serta persatuan-persatuan di bawah naungan badan bola sepak tersebut.
Ini bermakna, selain daripada penggantungan di kejohanan serantau, Farizal turut dilarang terlibat dengan mana-mana aktiviti bola sepak antarabangsa, domestik (Malaysia) termasuk perlawanan persahabatan rasmi atau tidak rasmi.
Buat masa ini, Farizal Marlias boleh dikatakan pilihan utama Benjamin Mora dalam skuad JDT.
Segala hukuman yang dijatuhkan ke atas Farizal berkuatkuasa serta merta pada tarikh hukuman dijatuhkan pada 9 Jun 2017 sehingga 8 Jun 2018.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Filipina pada 31 May yang lalu, Farizal Marlias dilihat memberikan reaksi ofensif.
Ianya bermula apabila pengadil memberikan penalti kepada Ceres Negros selepas Aidil menarik pemain lawan di dalam kotak penalti dalam keadaan bola sepakan penjuru pemain Ceres yang agak tersasar.
Farizal dilihat gagal mengawal emosi ketika diserang secara psikologi oleh pemain Ceres selepas beliau membantah penalti yang diberikan.
Farizal kemudian mengejar pemain tersebut. Pengadil melihat tindak-tanduk Farizal yang ganas itu dan mengeluarkan kad merah dari poket beliau.
Farizal yang sudah melihat pengadil bersedia melayangkan kad kepada beliau kemudiannya bertindak menolak pengadil.
Diharap insiden ini menjadi pengajaran kepada Farizal Marlias dan pemain-pemain lain. Farizal sebelum ini bukanlah pemain yang ganas. Beliau terkenal dengan sikap profesional.

Sumber Penuh : Semuanyabola.com

Thursday, 8 June 2017



Khairul Fahmi Che Mat adalah produk asal dari Kelantan FA ..Dilatih oleh Jurulatih Penjaga Gol iaitu Ismail Chaawailit sehingga menjadi bintang Bola Sepak MALAYSIA dan antara Penjaga Gol Terbaik yang pernah Malaysia miliki. ..Dari seorang bekas Penjaga Gol peringkat bawah umur 20 Apek gagal memikat hati Coach bawah 19  Malaysia sehingga balik ke Kelantan tanpa punya apa-apa ..

Kelantan mengkontrakkan pemain ini untuk piala presiden,tetapi langsung tidak menunjukkan persembahan cemerlang ..namun ismail tetap fokus mengajar Apek dari segi ketahanan,kekuatan,mental,fokus untuk game-game sehingga membuka mata coach TRW serap dalam team first game senior vs T-Team dimenangi Kelantan 1-0 pada tahun 2010 ...

Selepas itu , Apek mula bermain dengan cemerlang dan menjadi pilihan no.1 dengan Syed Adney Syed Hussein dah Shahrizan Ismail kehilangan tempat dan sebelum itu pernah kedengaran kata-kata dari peminat Kelantan di stadium "Keeper mari mano ni,aii tok yakin aku gakk kalu keeper ni,bodo doh la,bakpo g masok apek"..tapi Apex  menepis segala kritikan tersebut sehingga menjadi pujaan peminat.

Selepas dipanggil oleh skuad Malaysia,dia menjadi pilihan utama Coach Rajagobal untuk piala AFF  sehingga membawa malaysia muncul juara.

Itulah sebahagian Kisah Menarik Khairul Fahmi Che Mat...Semoga anda dapat Like dan Share di Facebook.



PETALING JAYA: Jika sebelum ini pemain Kelantan terpaksa menunggu dalam penuh debar gaji bulanan mereka, kini mereka boleh menarik nafas lega.
Ada perkhabaran baik apabila semua pemain bakal mendapat 'durian runtuh' sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata beberapa penaja sepakat untuk melunaskan gaji skuad sedia ada bagi bulan Jun lebih awal supaya pemain dapat bergembira menyambut Hari Raya.

Malah, kata Annuar, gaji bulan Mei turut akan dijelaskan serentak pada 20 Jun ini dengan semua pemain akan berbuka puasa bersama di Seri Puri Bukit Marak.

"Ini bererti tiada tunggakan gaji baki skuad 2017!," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Annuar berkata beberapa penaja pasukan itu turut berusaha membantu Kafa untuk melunaskan tunggakan bagi musim 2015/2016.

"Kebanyakannya bukan tunggakan gaji tetapi pampasan atau penyelesaian penamatan lebih awal kontrak bermain.

Namun, beliau berkata Kafa ternyata belum mempunyai wang untuk menjelaskan tunggakan tersebut dan mereka yang terlibat perlu menunggu lebih lama lagi.

Justeru, Annuar berkata beberapa penaja secara sukarela akan menawarkan satu pelan penyelesaian kepada semua pemain import dan juga tempatan yang tunggakan mereka masih belum dilunaskan Kafa.

"Mana-mana pemain atau pegawai yang sanggup selesaikan tuntutan dengan memberi Kafa diskaun 50%, kita akan bayar bagi pihak Kafa baki hutang mereka secara tunai dalam tempoh 30 hari mereka beri persetujuan hitam putih," katanya.

Namun, bagi mereka yang tidak bersetuju, Annuar berkata tiada sebarang paksaan dan mereka perlu menunggu seperti biasa sehingga Kafa ada keupayaan untuk melunaskan tunggakan tersebut.

"Mereka boleh pilih yang mana satu. Kami cuma cuba bantu kedua-dua pihak tanpa prejudis," katanya.
Jelas Annuar, Kafa akan melantik sebuah firma guaman sebagai pihak berkepentingan yang akan menulis surat dan menghantar tawaran ini kepada semua yang terlibat.

"Tawaran ini dibuat secara sukarela oleh sekumpulan penaja demi membantu mempercepatkan penyelesaian hutang," katanya.

Sumber : MStar

Wednesday, 7 June 2017



KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memilih Stadium Mini Ketereh sebagai tempat untuk menjalani latihan pada sebelah malam bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia, bermula awal bulan depan.
Ketua Jurulatih The Red Warriors, Zahasmi Ismail berkata, walaupun lokasi stadium ini terletak jauh dari Kota Bharu namun itu sahaja pilihan yang ada bagi pasukannya untuk meneruskan latihan sepanjang Ramadan ini.
“Pengarah teknikal Kafa (Alfredo Gonzales) bersama pegawai media (Md Zuki Deraman) telah meninjau stadium itu malam tadi (kelmarin) dan saya diberitahu dia berpuas hati walaupun tahap pencahayaan lampu limpah kurang terang.
“Mungkin dalam tempoh seminggu ini, pasukan akan berlatih di stadium ini diselang-seli dengan latihan kecergasan di gimnasium,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan, persiapan skuad pantai timur itu terjejas setelah tidak mendapat kelulusan untuk berlatih di Stadium Sultan Muhammad IV kerana bertindih dengan program Madinah Ramadan anjuran kerajaan negeri.
Sementara itu, sumber terdekat persatuan itu memberitahu, Kafa telah menghantar surat kali kedua kepada Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) untuk memohon berlatih dan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan stadium tersebut.
Menurutnya, keputusan tidak membenarkan pasukan berlatih di stadium berkenaan turut menyebabkan aksi persahabatan yang dirancang menentang Terengganu, di Kota Bharu pada 21 Jun ini, berkemungkinan terpaksa dibatalkan.
“Setakat ini belum ada maklum balas daripada PSK tetapi kita berharap ada sinar untuk pemain Kelantan kembali berlatih semula di situ. Buat sementara waktu, pasukan akan berlatih di Stadium Mini Ketereh terlebih dahulu,” katanya.

-

Dibawah adalah gambar pasukan Kelantan menjalani latihan di Dewan Stadium Mini Ketereh kerana Padang Stadium Mini Ketereh masih bertakung air akibat hujan

Apapun latihan tetap diteruskan dan berjalan lancar.

-




Kredit Gambar TRWFC


Monday, 5 June 2017


Tindakan Halim Napi yang mencadangkan agar penjaga gol JDT yang menolak pengadil pada aksi Piala AFC lalu diberi peluang kedua dipuji oleh majoriti penyokong pasukan Selatan Tanah Air itu di Media Sosial.

'' SAYA BERDOA SUPAYA FARIZAL TIDAK DIKENAKAN TINDAKAN TERLALU BERAT SEPERTI DIGANTUNG SEUMUR HIDUP. SEBALIKNYA BERILAH DIA PELUANG KEDUA UNTUK MEMPERBAIKI KESILAPAN DENGAN MEMBERI HUKUMAN RINGAN SEBAGAI PENGAJARAN ''. - Halim Napi ( Bekas Penjaga Gol Kontroversi Kelantan )

Dibawah adalah antara beratus ratus komen yang memuji Halim Napi








KREDIT KEPADA PEMILIK FOTO