KAFA BAKAL TERIMA RM25 JUTA ? ~ Blog Penyokong Bola Sepak Kelantan FA

Monday 21 September 2015


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) dijangka memperoleh pendapatan RM25 juta menerusi jualan jongkong emas The Red Warriors (TRW) dalam tempoh 10 tahun.
Ketua Pegawai Eksukutif Triplenine Goldworld Gallery Sdn Bhd, Datuk Rozaini Rosdin berkata, pihaknya berharap dapat membantu meningkatkan pembangunan bola sepak di Kelantan menerusi kerjasama jangka panjang bersama persatuan itu.
“Jumlah perolehan tersebut berdasarkan perkiraan kita mampu menjual 500,000 jongkong emas yang mana ia sudah pun memasuki pasaran sejak tiga bulan lalu dan dijual dengan harga RM240 seunit.
“RM50 daripada setiap jualan jongkong emas itu akan disalurkan terus ke dalam tabung pembangunan bola sepak TRW bagi membolehkan persatuan itu menjalankan aktiviti mereka,” katanya kepada media di Kota Bharu, malam kelmarin.
Menurutnya, sebagai permulaan, pihaknya telah menyerahkan RM25,650 kepada pihak Kafa yang merupakan hasil jualan 513 jongkong emas bagi tempoh tiga bulan, sejak ia berada di pasaran 24 Jun lalu.
Beliau berkata, selepas ini kerjasama tersebut turut akan dilebarkan untuk pasukan bola sepak di seluruh negara dan juga sukan lain yang memerlukan bantuan dana prasarana tambahan.
“Kita akan buat juga untuk sukan-sukan seni mempertahankan diri. Kita juga menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyimpan emas untuk kegunaan di masa hadapan. Apa yang penting, dalam masa yang sama royalti dapat bantu pembangunan kelab itu sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai kaedah penjualannya, Rozaini berkata, sehingga kini pihaknya masih menggunakan ejen dan jualan terus kepada pelanggan.
“Ia juga didapati di cawangan Pejabat Pos yang mempunyai perkhidmatan Ar-Rahnu tetapi Pos Malaysia belum senarai pendek lagi cawangan mana yang akan terlibat, namun untuk Kelantan sahaja, kita boleh umumkan sebanyak enam tempat.
“Maklumat lanjut kita akan maklumkan dari semasa ke semasa. Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang kami untuk sebarang pertanyaan dan kemusykilan,” katanya.
Sumber : www.sinarharian.com.my / myKelate.net

Tagged:

0 comments:

Post a Comment